Kesemua 28 permit lori syarikat pengendali kepada pemandu treler yang merempuh sebuah kereta sehingga mengorbankan lima individu, digantung selama dua minggu untuk dibuat pemeriksaan.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, syarikat Usaha Maju Trading Sdn Bhd yang berpangkalan di Gua Cempedak, Gurun Kedah itu juga akan diaudit oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Petang ini juga akan dikeluarkan notis bahawa semua lori dimiliki syarikat itu tidak boleh meneruskan operasi dan saya dah arahkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah untuk pastikan semua lori balik ke depoh untuk pemeriksaan.

"Pemandu berkenaan bukan sahaja positif dadah tetapi mempunyai 28 saman lampau dengan baki dua saman yang masih aktif," katanya pada sidang media di Kementerian Pengangkutan di Putrajaya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Seremban itu juga menyatakan pihaknya sedang mengkaji laluan alternatif di sekitar kawasan Terowong Menora yang boleh digunakan oleh pemandu lori bagi mengurangkan kadar kemalangan di kawasan itu.

"Laluan di Terowong Menora bahaya terutama arah Ipoh ke Pulau Pinang kerana cerun yang tinggi, saya juga minta pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) untuk mulakan kajian terperinci mengenai laluan alternatif itu.

"Pada masa yang sama JPJ juga akan meletakkan anggota penguatkuasa sebelum terowong dan selepas turun bukit bagi memastikan pemandu lori memandu dalam keadaan cermat serta tidak membawa lebih muatan dan sebagainya," jelas beliau.

Anthony turut memberi amaran kepada syarikat pengendali lori dan semua pemandu di negara ini agar menitik-beratkan soal keselamatan di dalam pemanduan bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.