Seorang pemandu treler ditahan reman dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes kemalangan yang menyebabkan lima mangsa rentung di KM255.3 Lebuhraya Utara Selatan arah utara selepas Terowong Menora Sabtu lalu.

Perintah reman itu dikeluarkan oleh Majistret Noorhidayah Mohd Saad di Mahkamah Kuala Kangsar di sini, bagi membolehkan siasatan lanjut terhadap suspek yang berusia 41 tahun itu mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam nahas 11.47 pagi, lima individu rentung apabila kereta yang dinaiki mereka terbakar selepas dirempuh sebuah treler.

BACA: Nahas lima rentung, pemandu treler milik 13 saman, positif dadah

BACA: "Kenderaan Kia Forte, mangsa yang rentung mungkin ibu saya"


Difahamkan, tiga daripada lima mangsa yang rentung terdiri daripada seorang wanita warga emas berusia 60 tahun, serta seorang wanita berusia 37 tahun bersama bayi lelakinya yang baru berusia setahun, dan mereka dipercayai dalam perjalanan dari Selangor untuk menghadiri upacara keagamaan di Taiping.

Setakat ini dua individu dipercayai anggota keluarga mangsa kemalangan hadir di Hospital Kuala Kangsar di sini semalam untuk melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi proses pengecaman mayat.