Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Peter Anthony mendedahkan beliau diminta beri keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah disebabkan siasatan berkaitan projek jalan raya di Sabah.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan secara terperinci kes yang dikaitkan dan ia merupakan satu proses untuk memberi keterangan selepas ada laporan pihak tertentu berhubung perkara itu.

"Ia merupakan proses keterangan normal, di mana ada rungutan, ada aduan dari awam berhubung beberapa perkara jadi kita kena panggil buat keterangan," katanya.

Peter yang juga Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Sabah itu terdahulu, dipanggil ke Pejabat SPRM negeri Kota Kinabalu bermula jam 10.22 pagi dan keluar kira-kira jam 5.20 petang tadi.

Mengulas mengenai proses keterangan yang memakan masa lebih tujuh jam itu, Peter berkata, pegawai SPRM terlibat amat profesional dengan pihaknya turut memberikan kerjasama bagi melancarkan sesi berkenaan.

"Ada dua tiga orang (pegawai SPRM) tapi mereka amat bagus, amat profesional.

"Kita bagi kerjasamalah selaku menteri di peringkat kerajaan negeri kita bagi kerjasama, bagi mereka dokumen diperlukan, mana-mana dokumen penting," katanya.

Dalam masa yang sama, Peter turut tidak menolak kemungkinan pihaknya atau beberapa ahli politik dari kerajaan negeri bakal dipanggil SPRM dalam tempoh terdekat ini.

Jelas beliau dalam sidang media ketika ditemui selepas selesai memberi keterangan petang tadi, pihaknya turut mendakwa senario semasa ini lebih bermotifkan politik memandangkan kerajaan negeri dan persekutuan adalah tidak sehaluan.