Sekiranya kerajaan berhasrat memansuhkan skim lantikan tetap dan berpencen, gaji dan caruman penjawat awam perlu dinaikkan seiring dengan cabaran kehidupan serta kos sara hidup yang semakin meningkat.

Presiden Kelab Pesara Kerajaan Malaysia (Kupekmas), Datuk Omar Osman berpendapat memandangkan gaji kakitangan awam lebih rendah berbanding swasta, kerajaan perlu menaikkan sekali ganda dan caruman pekerja pada kadar sembilan peratus untuk pekerja dan 11 peratus untuk kerajaan selaku majikan.

"Caruman ini juga perlu kelaskan mengikut kluster perkhidmatan iaitu bagi mereka yang sudah berkhidmat lebih daripada 15 tahun, caruman majikan perlu lebih.

"Ini bagi memastikan selepas penjawat awam ini pencen, mereka tidak berdepan dengan masalah kewangan kerana mempunyai simpanan mencukupi," katanya kepada Sinar Harian semalam.


Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan sedang mencari jalan terbaik berhubung cadangan tiada lagi lantikan baharu dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan berpencen bagi memastikan ia tidak merugikan penjawat awam.

Menurutnya, tiada sebarang keputusan dibuat berkenaan cadangan itu dan masih belum dibincangkan di peringkat Kabinet.

BACA: Pertukaran skim tetap dan berpencen tidak libatkan penjawat awam sedia ada - KSN

Omar berkata pada 2010, kerajaan pernah mencadangkan Skim Kaedah Persaraan Bercarum seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tetapi dibantah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).

"Saya ketika itu menjadi Presiden Cuepacs membantah cadangan tersebut dan ia tidak dilaksanakan. Situasi yang berlaku hari ini sama seperti 2010 dan pada pendapat saya, skim sedia ada tidak wajar ditukar," katanya.

BACA: Ganti skim pencen: Mekanisme lantikan baharu perlu dibincang

Beliau menjelaskan, soal bebanan sebanyak RM28 bilion untuk bayaran pencen tidak perlu ditimbulkan kerana ia merupakan tugas kerajaan.

"Sebab itu kita ada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) ini. Kerajaan dipilih rakyat untuk mentadbir negara berdasarkan kepada janji dan pembaharuan yang dibawa.

"Penjawat awam ini ialah rakyat Malaysia, jadi kerajaan sepatutnya memudahkan mereka dan bukan menyusahkan lagi," katanya.

BACA: Skim pencen tidak boleh dimansuhkan - Cuepacs

Bagaimanapun, beliau masih berharap agar kerajaan meneruskan lantikan baharu dalam perkhidmatan awam di bawah skim tetap dan berpencen sebagaimana dilaksanakan selama ini sebagai menghargai mereka.

"Kalau dimansuhkan skim ini, tidak ada apa yang menarik tentang perkhidmatan awam. Rakyat Malaysia tidak akan berminat menyertainya.

"Gaji penjawat awam lebih rendah berbanding swasta, sebab itulah pencen ini diperkenalkan. Jika pencen dimansuhkan, bagaimana dengan hari tua mereka tatkala kehidupan semakin mencabar dengan peningkatan kos sara hidup, perubatan dan kediaman?" katanya.