Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor boleh menggunakan kuasa mereka untuk menghentikan urusniaga pembelian tanah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Tabung Haji (TH).

Menurut Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli,perkara demikian boleh dilakukan tanpa melanggar undang-undang memandang ia adalah dalam bidang kuasa Najib dan Tengku Adnan.

“Kuasa untuk meluluskan pindahmilik tanah selepas sesuatu urusniaga jual beli adalah kuasa Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan iaitu di bawah tanggungjawab Menteri Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan serta Najib sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

“Kesemua ini boleh dilakukan tanpa melanggar undang-undang dan ia adalah dalam bidang kuasa Najib dan Tengku Adnan,” kata Rafizi dalam satu kenyataan kepada media.

Kata Rafizi, perjanjian jual beli ini masih boleh diselamatkan memandangkan 1MDB belum memenuhi semua syarat-syarat jual beli.

BACA Tabung Haji sahkan pembelian hartanah di Tun Razak Exchange

BACA Azeez arah pengurusan Tabung Haji jawab isu pembelian tanah 1MDB

“Saya yakin bahawa perjanjian jual beli tanah yang melibatkan dana sebanyak RM188.5 juta ini belum dimuktamadkan kerana hakmilik belum dipindakmilikkan kepada TH.

“Oleh yang demikian, ada peluang untuk menghentikan jual beli ini untuk membolehkan dana RM188.5 juta milik pendeposit TH (termasuk simpanan saya sendiri) tidak disentuh,” katanya.

Rafizi turut memaklumkan bahawa satu perjumpaan dengan semua pendeposit Tabung Haji pada 13 Mei jam 9 malam bagi mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasanya menghentikan penggunaan dana TH ini.

Sementara itu Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa berpendapat bahawa pihak TH seharusnya membatalkan urusniaga pembelian hartanah milik 1MDB.


BACA Tabung Haji buat laporan polis kes dokumen TRX bocor

BACA Pengerusi TH akui silap dalam buat penafian


Husam turut berkata, pihak yang bertanggungjawab dalam hal ini sepatutnya meletakkan jawatan.

“Langkah TH membuat laporan polis kebocoran maklumat rasmi berkenaan pembelian hartanah milik 1MDB adalah memalukan. Langkah lebih mulia adalah membatalkan pembelian itu.

“Bahkan langkah mulia juga adalah pihak bertanggungjawab agar meletakkan jawatan termasuk atas sebab kebocoran yang memalukan itu sendiri, selain tindakan pembelian yang tidak dapat diterima itu” kata Husam dalam satu kenyataan kepada media hari ini.

Terdahulu, laman blog The Benchmark serta beberapa blog lain telah memuat naik beberapa dokumen yang memaparkan TH telah membeli dua plot tanah di TRX pada harga RM772 juta, menggunakan wang pendeposit yang disimpan dalam syarikat berkenaan dan bukannya wang kerajaan.

Perkara ini telah mencetuskan kontroversi dengan beberapa pihak mengetengahkan bahawa langkah TH adalah untuk menebus sebahagian hutang 1MDB yang bernilai RM42 bilion.

Sehubungan dengan itu, TH telah membuat laporan polis pada Khamis berhubung 'pembocoran' dokumen Tabung Haji dalam urusan pembelian tanah di pusat kewangan TRX.

Laporan yang dibuat oleh Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Johan Abdullah di Balai Polis Dang Wangi itu antara lain menyatakan blog 'The Benchmark' didakwa memanipulasi fakta berkaitan pelaburan yang dilaksanakan TH untuk pembelian tanah di TRX.