Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjelaskan harga rumah tidak akan susut walaupun kos bahan mentah pembinaan dikecualikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) kerana semuanya tertakluk kepada harga tanah.

Katanya, kos dan lain-lain caj harga tanah di dua buah negeri maju seperti Pulau Pinang dan Selangor meningkat berkali ganda sejak 10 tahun lalu menjadi faktor mustahil harga rumah mampu dikurangkan walaupun bahan asas pembinaan dikecualikan SST.

Selain itu katanya, ada barangan lain pembinaan seperti kaca, tingkap, kayu, bahan seramik dan lain-lain dikenakan SST yang memberi gambaran jelas bahawa harga rumah tidak akan turun.

Beliau berkata, selain cukai jualan, perkhidmatan-perkhidmatan seperti insuran, arkitek, perunding, reka bentuk dan kejuruteraan yang diperlukan dalam pembinaan turut dikenakan cukai perkhidmatan dalam SST di mana sebelum ini boleh dituntut balik oleh pemaju sebagai kos input Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Oleh itu, untuk mengurangkan kos rumah, langkah-langkah perlu diambil adalah mengurangkan kos tanah.

"Saya lihat bahawa kos dan caj-caj lain yang dikenakan oleh kerajaan negeri untuk penggunaan tanah terutama di negeri-negeri maju seperti Selangor dan Pulau Pinang telah naik berkali ganda sejak 10 tahun yang lepas. Oleh itu, kerajaan persekutuan perlu berkerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengurangkan caj-caj ini," katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

BACA: Tarik balik pengecualian SST kalau harga rumah tak turun - Guan Eng

Beliau berkata, harga tanah boleh diturunkan dengan meningkatkan penyediaan tanah yang murah dari kerajaan negeri atau dari tanah milik agensi kerajaan pusat.

Jadi Najib berkata, adalah tidak wajar Menteri Kewangan, Lim Guan Eng membuat ugutan terhadap pemaju perumahan untuk menarik balik pengecualian SST terhadap bahan mentah pembinaan hanya kerana pemaju menegaskan harga rumah tidak akan berkurangan.

BACA: Pengecualian SST langkah baik namun penguatkuasaan sangat penting

"Apabila rata-rata pemaju menyatakan bahawa cukai SST tidak akan mengurangkan harga rumah, Guan Eng berang. Beberapa hari lalu dia mengugut bahawa segala pengecualian SST untuk bahan-bahan pembinaan rumah akan ditarik balik jika harga rumah tidak diturunkan.

"Ugutan Guan Eng merupakan pemikiran kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) yang paling luar biasa peringkat teratas. Oleh kerana harga rumah tidak turun, dia mahu menarik balik pengecualian ini kononnya bagi menghukum pemaju tetapi tak sedar harga rumah akan naik lebih tinggi. Dia nak hukum pemaju rumah ataupun hukum rakyat?" katanya.