Calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, bekas Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak akan turun ke Rantau bagi membantu berkempen pada Pilihan Raya Kecil DUN Rantau minggu ini.

Pada masa sama jelasnya, kehadiran Bekas Pengerusi BN yang terpalit dengan isu dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu tidak akan memberi kesan kepada pengundi di Rantau.

“Datuk Seri Najib akan datang ke Rantau sama ada hari Khamis atau Jumaat di Bandar Ekar. Saya juga jemput dia datang ke Sendayan kerana ia adalah hasil buah tangan dia yang menolong kerajaan negeri dengan memindahkan Pangkalan Tentera Udara ke Sendayan, maka kita dapat menjualkan tanah tersebut 750 ekar untuk kita buat bayar pinjaman dan juga sebagai modal untuk MBI dan kerajaan negeri bayar hutang,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama BN di Rantau di sini hari ini.

Katanya, penduduk Rantau langsung tidak kisah dengan isu berkenaan.

Ia berikutan kebanyakan mereka lebih sibuk memikirkan soal sara hidup.

“Orang Rantau tidak kisah pasal 1MDB. Tahu pun tidak, apa tu bawang ke. Yang mereka kisah susah nak beli barang sekarang sebab duit tidak ada. Harga getah kelapa sawit merudum nak beli apa
BR1M yang ditunggu-tunggu dipotong, banyak bantuan JKM dihentikan,” tambahnya.

PRK Rantau menyaksikan pertembungan empat calon dalam merebut kerusi DUN Rantau iaitu daripada Barisan Nasional, Datuk Seri Mohamad Hasan, Dr. S. Streram (Pakatan Harapan) serta dua calon Bebas, Mohd. Nor Yassin dan R. Malarvizhi.

Hari pengundian akan diadakan pada 13 April manakala pengundian awal pula pada 9 April.

Kawasan DUN Rantau mempunyai 20,926 pengundi berdaftar, yang terdiri daripada 20,804 pengundi biasa, 118 pengundi awal dan empat pengundi tidak hadir.