Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Rabu ini atas dakwaan berkaitan kes pindaan laporan akhir audit 1MDB.

Menurut sumber, kedua-dua akan didakwa atas kesalahan pindaan laporan akhir audit 1MDB dan dijangka akan didakwa di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

Najib dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin bagi memberi keterangan berhubung kes sama.

Beliau ditahan sejurus selepas beliau memberi keterangan di ibu pejabat SPRM pada jam 10.51 pagi tadi.

Sumber mendedahkan kepada Astro AWANI, Najib berkemungkinan akan dibebaskan dengan jaminan SPRM, hari ini.

“Jika beliau (Najib) bayar jaminan, mungkin petang ini (Isnin) akan dibebaskan.

“Najib ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009,” kata sumber berkenaan.

Pada 25 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata, sebahagian audit akhir 1MDB dibuang.

Menurutnya, perkara penting yang tidak dimasukkan dalam laporan itu ialah mengenai kehadiran ahli perniagaan yang diburu Low Taek Jho atau Jho Low dalam satu mesyuarat Lembaga Pengarah 1MDB dan kedua berkenaan status kewangan 1MDB.

Tambahnya lagi, arahan pengubahan itu diberikan oleh Tan Sri Shukry Salleh, yang juga ketua setiausaha sulit Najib sewaktu dia menjadi perdana menteri.

Selain Najib, SPRM turut memanggil beberapa individu bagi siasatan kes berkenaan.

Ia termasuklah Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Tan Sri Ambrin Buang dan Tan Sri Dr Ali Hamsa serta Arul Kanda Kandasamy.