Tutup

Najib dibenar pulang selepas disoal siasat lebih 6 jam

Najib dibenar pulang selepas disoal siasat lebih 6 jam
Najib yang disoal siasat lebih enam jam di ibu pejabat SPRM dibenarkan pulang sebentar tadi. -Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang disoal siasat lebih enam jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini dibenarkan pulang sebentar tadi.

Beliau dipercayai meninggalkan ibu pejabat SPRM sekitar jam 4.30 petang dengan menaiki kenderaan jenis Toyota Vellfire putih melalui jalan belakang.

Perkara itu disahkan peguamnya Muhammad Farhan Shafee.

Najib disoal siasat berkaitan pembayaran hutang dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada International Petroleum Investment Co (IPIC).
Menurut sumber SPRM, Najib dipanggil berikutan penemuan baharu dalam siasatan 1MDB yang masih aktif dijalankan.

Beliau yang juga merupakan bekas Presiden UMNO tiba di ibu pejabat SPRM sekitar jam 10 pagi dan difahamkan masuk melalui pintu belakang bangunan tersebut.

Sebelum ini, Najib didakwa di mahkamah atas 32 pertuduhan.

Kali terakhir Najib dipanggil memberi keterangan pada 19 September yang lalu sebelum ditahan dan kemudiannya didakwa.

Pada 20 Sept, Najib sekali lagi didakwa atas 21 pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 23 (1) Akta SPRM.

Najib bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan hakim.