Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini didakwa semula di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta, lima tahun lepas.
Najib, 66, didakwa semula tidak sampai 24 jam selepas Mahkamah Tinggi di sini, melepas tanpa membebaskannya daripada tiga tuduhan tersebut, semalam.
Anggota Parlimen Pekan itu yang bersut biru, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Azman Ahmad.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan berkenaan, Najib didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang keseluruhannya RM47 juta, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.
Najib dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, No. 55, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014 mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup mencadangkan Najib diikat jamin dengan "jaminan mulut" tanpa penjamin.
"Prosiding pendakwaan pada 28 Jan lepas tidak dikenakan jaminan kerana ia adalah pertuduhan tambahan kepada tuduhan sedia ada di Mahkamah Tinggi, namun pertuduhan hari ini belum lagi dibawa ke Mahkamah Tinggi.
"Kami mengambil kira yang tertuduh berdepan banyak pertuduhan sebelum ini dan diikat jamin kira-kira RM6 juta dan pasport diserahkan pada mahkamah, justeru kami bersetuju untuk mencadangkan 'jaminan mulut', ke atas tertuduh bagi kes ini," katanya.
Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib berterima kasih kepada pihak pendakwaan yang mencadangkan jaminan tersebut yang disifatkan satu cadangan adil.
Mahkamah membenarkan Najib diikat jamin dengan bon peribadi tanpa dikenakan cagaran bagi ketiga-tiga pertuduhan itu.
Terdahulu, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa ketiga-tiga pertuduhan yang dihadapi Najib hari ini adalah pertuduhan serupa yang dihadapinya di Mahkamah Tinggi pada 28 Jan lepas, bagaimanapun Najib dilepas tanpa dibebaskan daripada tuduhan itu oleh Mahkamah Tinggi semalam berikutan terdapat kesilapan membawa kes itu terus ke Mahkamah Tinggi sebelum ke Mahkamah Sesyen.
"Pertuduhan ini secara substantifnya sama dengan pertuduhan yang dibawa pendakwaan terus ke Mahkamah Tinggi (pada 28 Jan) dan semalam, Peguam Negara mengatakan beliau menarik balik tuduhan itu kerana terdapat kesilapan asas dengan membawa kes itu ke Mahkamah Tinggi sebelum ke mahkamah lebih rendah," katanya.
Peguam itu berkata pihaknya juga akan mengemukakan bantahan terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu berikutan terdapat beberapa kecacatan ketara pada pertuduhan-pertuduhan tersebut.
Mahkamah menetapkan 8 Mac untuk sebutan semula kes.
Pada 28 Jan, Najib mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi terhadap tiga pertuduhan itu dan semalam mahkamah sama melepas tanpa membebaskannya daripada ketiga-tiga tuduhan itu selepas membenarkan permohonan pendakwaan yang diketuai Peguam Negara Tommy Thomas untuk melepas tanpa membebaskan Najib.
Thomas memaklumkan mahkamah pihaknya akan mendakwa Najib atas pertuduhan berkenaan di Mahkamah Sesyen.
Kes pengubahan wang haram bermula di Mahkamah Sesyen dan pihak pendakwaan sepatutnya menyebut kes itu di Mahkamah Sesyen sebelum memindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Bagaimanapun, pada 28 Jan, pihak pendakwaan telah mendakwa Najib terus di Mahkamah Tinggi.
-- BERNAMA
Bernama
Fri Feb 08 2019
Najib didakwa semula di Mahkamah Sesyen KL atas tiga pertuduhan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta lima tahun lepas. -- fotoBERNAMA
KMUM cela agenda dakyah zionis di Universiti Malaya
Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) dalam pada itu mengambil pendirian dengan tegas mengecam terhadap kenyataan dikeluarkan oleh ilmuwan pro-zionis di Universiti Malaya.
Penceramah zionis: Netizen kecam pensyarah label Malaysia Islam-fasis
Rata-rata mereka berkata, Ahli akademik pro Zionis itu tidak dialu-alukan di Malaysia dan ideologi Zionis tidak diterima di negara ini.
Pesawat bawa mendiang Joanna tiba di Kuching
Pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membawa jasad mendiang Laskar Kelas I JJM Joanna Felicia Rohna, 26.
EPL: Pertahan teman wanita, Rice buktikan masih wujud lelaki budiman
Pemain tengah Arsenal Declan Rice memuji teman wanita Lauren Fryer dan mempertahankannya selepas beberapa kumpulan pembenci memalukannya.
Reaksi penstrukturan semula akaun KWSP kepada tiga akaun
Bersama ditalian, Ketua Kluster Mikroekonomi, Pusat Kajian Pembangunan Inklusif dan Lestari (SID), Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mustazar Mansur.
Aishah terkejut, tak sangka video nyanyian spontan tepi jalan jadi tular
Menurut Aishah, tindakan yang dilakukannya itu adalah secara kebetulan dan tidak dirancang sama sekali.
Bursa Malaysia dibuka bercampur-campur
Pada 9.23 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.35 mata kepada 1,571.83 daripada 1,571.48 ketika ditutup pada Rabu.
Tahanan reman lima individu termasuk anak MB disambung hingga esok
Kesemua suspek berusia 27 hingga 37 tahun itu ditahan oleh SPRM antara pukul 7 dan 8 pagi Selasa lepas di sekitar Perlis.
[TERKINI] KWSP akan struktur semula akaun KWSP kepada tiga akaun
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan inisiatif penstrukturan semula akaun KWSP berkuat kuasa 11 Mei 2024 bagi tujuan menambah baik keselamatan pendapatan persaraan di samping memenuhi keperluan kitaran hidup ahli.
KWSP struktur semula kepada tiga akaun mulai 11 Mei
Akaun KWSP akan distruktur semula daripada dua kepada tiga, iaitu Akaun Persaraan, Akaun Sejahtera dan Akaun Fleksibel.
Najib didakwa semula tiga kes pengubahan wang haram RM47 juta
Pada Khamis, beliau telah dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap tiga tuduhan tambahan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram RM47 juta.