Pihak pendakwa raya akan cuba membuktikan bahawa sebahagian daripada sejumlah dana bernilai RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, telah digunakan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk tujuan peribadi, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Sewaktu membacakan ucapan pembukaan pendakwaan di bilik bicara Mahkamah Tinggi Jenayah 3 hari ini, Thomas berkata, bukti pendakwaan akan menunjukkan Najib telah mengeluarkan sejumlah 15 cek dari akaun peribadi beliau bernilai RM10,776,514.00.

Selain itu, turut cuba dibuktikan ialah perbelanjaan sejumlah USD130,625 melalui kad kredit Najib di butik Chanel di Honolulu, Hawaii, serta penggunaan sejumlah cek untuk kerja-kerja pengubahsuaian kediaman peribadi beliau di Jalan Langgak Duta, Kuala Lumpur, di Pekan, Pahang.

Selain itu, beberapa cek juga didakwa dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu untuk parti-parti komponen di bawah Barisan Nasional.

“Beban pendakwaan kini terletak di atas pasukan pendakwaraya untuk membuktikan, melampaui keraguan yang munasabah, bahawa tertuduh Mohd Najib bin Haji Abd Razak adalah bersalah terhadap setiap tuduhan ke atasnya dalam perbicaraan ini,” kata Thomas sewaktu menutup ucapannya.

Hari ini, bekas pengerusi Barisan Nasional dan Presiden UMNO itu, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah (CBT), satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC International) berjumlah RM42 juta.

Kesemua tuduhan dibaca di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, dan Najib mengaku tidak bersalah serta minta dibicarakan untuk kesemua tuduhan.

Saksi pendakwa raya yang pertama dipanggil ialah penolong pendaftar dari Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaluddin Abdullah, 35.

Selepas mengangkat sumpah, Muhamad Akmaluddin membacakan semula keterangan saksi di mana beliau mengaku telah diminta oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memeriksa rekod tiga syarikat melalui pangkalan data SSM - SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd, dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Muhamad Akmaluddin berkata, SRC International merupakan anak syarikat milik penuh 1MDB dengan modal permulaan RM1 juta, Gandingan Mentari pula subsidiari SRC International dengan modal permulaan RM1,000, manakala Ihsan Perdana merupakan menjalankan tanggungjawab sosial korporat untuk Yayasan 1MDB dengan modal permulaan RM2.

Terdahulu, Thomas berkata pasukan pendakwaan akan cuba membuktikan dana RM42 juta dari SRC International telah melalui kedua-dua anak syarikat ini sebelum dipindahkan ke akaun peribadi milik Najib.

Beliau juga berkata, Najib ketika itu telah menggunakan kedudukannya sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, selain Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB serta penasihat Emeritus SRC International untuk melakukan perbuatan itu.