Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini menyindir kerajaan Pakatan Harapan berhubung Belanjawan 2019 dengan mengunakan komen daripada seorang netizen yang diambil daripada laman Facebook.

Beliau memetik ayat tersebut yang berbunyi: "PH memang benar meringankan beban rakyat. Dulu beli barang RM50 ada juga rasa berat tapi sejak PH memerintah beli barang RM100 pun masih terasa ringannya. Memang sah PH 'ringankan' beban rakyat.”

“Ini komen yang diambil rakyat biasa,” katanya ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan (2019) di Dewan Rakyat.

Kenyataan beliau itu menyebabkan Dewan Rakyat riuh rendah dan menerima kecaman beberapa ahli Parlimen Pakatan Harapan.

“Itu zaman Barisan Nasional,” kata ahli Parlimen Kampar Abdullah Sani Abdul Hamid yang mencelah perbahasan itu.

Terdahulu Najib mengkritik Belanjawan kerajaan Pakatan Harapan dalam ucapannya.

Beliau berkata sepatutnya kerajaan menaikkan pemberian bantuan kepada rakyat ketika negara berdepan dengan situasi ekonomi yang mencabar.

Tambahnya, rakyat terutama penjawat awam dan luar bandar mengeluh dengan Belanjawan Pakatan Harapan yang mengetepikan hak mereka.

“Saya lawat kawasan Felda saya pergi kawasan petani pekebun kecil saya tanya kepada mereka kenapa keadaan luar bandar sekarang nampak muram.

“Mereka kata kami sedang berkabung. Kemudian penjawat awam mengeluh kerana tiada kenaikan bonus tahunan," ujar beliau.

Katanya ia sangat berbeza dengan apa dilakukan Barisan Nasional dahulu apabila sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat.