Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menafikan berlaku kekeliruan tempat duduk yang menyebabkan beliau tidak hadir ke Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Istana Negara pada Selasa.

Sebaliknya, jelas Najib, kerusinya yang ditukar kepada tempat duduk Orang Besar Pahang dilakukan pada saat-saat akhir.

Ia sekali gus menyebabkan beliau tidak sempat mengambil pakaian istiadat mengikut jawatan berkenaan di Pekan.

"Bukan kekeliruan tetapi menerima panggilan pada pukul 6.30 pagi yang sama bahawa tempat duduk ditukar.

"Sepatutnya duduk di tempat ke-10 sebagai bekas Perdana Menteri mengikut protokol istiadat, tetapi ditukar pada saat terakhir ke tempat duduk Orang Besar Pahang.

"Pakaian istiadat untuk Orang Besar Pahang dan pakaian bekas PM tak sama. Setiap jawatan ada protokolnya.

"Masa itu dah tak sempat nak ambil pakaian dari Pekan," katanya melalui entri di laman Facebooknya pada Rabu.