Bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa kerajaan jangan emosi dalam membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura.

Menerusi hantaran di Facebooknya, bekas perdana menteri itu turut memperincikan mengapa HSR wajar diteruskan.

"Projek ini bukan diilhamkan berdasar kepada keputusan dibuat satu negara sahaja. Ia dibuat secara kajian terperinci termasuk manfaat dari segi kos bagi membuktikan wujud manfaat sosial dan ekonomi bagi kedua-dua negara,” katanya.

Menurutnya, Malaysia banyak manfaat termasuk melalui jualan tiket kerana majoriti landasan adalah di Malaysia.

"Ia adalah sebahagian daripada agenda transformasi untuk Malaysia baharu yang akan mewujudkan industri baharu, kaedah baharu untuk kerjasama antara dua negara, meningkatkan pekerjaan berpendapatan tinggi serta taraf hidup lebih baik," katanya.

Najib menambah, HSR juga akan mewujudkan pusat pertumbuhan baharu seperti Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Melaka dan Seremban.

BACA: Perbelanjaan tinggi untuk HSR tidak efisien - PM

BACA: Pembatalan projek HSR muktamad, kemungkinan penalti RM500 juta

"Saya kecewa dengan keputusan terburu-buru untuk membatalkan projek ini dan menggesa kerajaan untuk bersikap lebih telus dan mengadakan rundingan sebelum membuat sebarang keputusan kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan ekonomi, peluang pekerjaan dan jenis pekerjaan untuk rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kerajaan baharu mendakwa kos projek ini adalah RM110 bilion sedangkan jawatankuasa bersama Malaysia–Singapura, sehingga awal tahun ini mengunjurkan kos bagi projek ini adalah kira-kira RM72 bilion sahaja.

“Ia termasuk pengambilan tanah dibayar kepada rakyat Malaysia, berasaskan kepada penilaian antarabangsa yang dilakukan dan dikemukakan sebelum ini," katanya.

Najib juga mahukan penyelasan bagaimana kerajaan memperoleh angka RM110 bilion.

Adakah angka ini dinaikkan atas dasar politik sebagaimana dilakukan terhadap angka RM1 trilion bagi hutang negara?’

"Saya terkejut dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan Malaysia tidak mendapat pulangan sesen pun daripada projek HSR.

"Saya mahu bertanya kepada Dr Mahathir apakah projek Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Central Spine Road yang tiada tol, projek LRT, MRT dan monorel mendapat pulangan dari hasil tiket sahaja?," katanya.

Beliau menjelaskan, projek-projek infrastruktur ini mendatangkan pulangan kepada negara dari segi kepesatan ekonomi.