Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Jelajah Turun Padang Bantu Rakyat Biro Kebajikan UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Pada majlis itu, Najib melepaskan lebih 40 buah kenderaan dan 130 peserta jelajah yang dijangka berakhir 4 Jun ini.

Selain sumbangan kepada 191 UMNO Bahagian seluruh negara, jelajah itu turut melibatkan bantuan kepada 13 kumpulan yang terdiri daripada ibu tunggal, pesakit kronik, bekas perajurit dan golongan miskin.

Kira-kira 22 lokasi akan dikunjungi termasuk Perhubungan UMNO Negeri di Sabah.

Dalam pada itu, Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, jelajah itu bagi memberi gambaran bahawa UMNO sebagai parti yang membantu rakyat selain memenuhi permintaan Perdana Menteri agar biro berkenaan dekat dengan rakyat.

"Ia akan melibatkan lebih daripada 120 ribu penerima sumbangan di mana ia akan disalurkan di 191 bahagian di seluruh negara termasuk di 22 lokasi yang melibatkan pelbagai kelompok,"

Bagaimanapun, beliau mengakui program seumpama ini tidak mampu menyelesaikan semua isu dalam waktu yang singkat.

Justeru katanya, pihaknya akan melakukan program susulan termasuk menggerakkan startegik berkesan bagi membantu mereka yang memerlukan.