Proses mengambil keterangan bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung siasatan kes SRC International Sdn Bhd dipercayai masih berlangsung selepas empat jam beliau tampil di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), di sini, hari ini.

Najib yang tiba pada 9.45 pagi tadi masih belum keluar dari perkarangan bangunan tersebut setakat jam 2 petang.

Seorang pegawai SPRM yang ditemui sini mengesahkan Ahli Parlimen Pekan itu masih berada dalam bangunan berkenaan dan belum selesai memberi keterangan.

Pagi tadi, Najib yang tiba di perkarangan bangunan SPRM diserbu pengamal media tempatan dan antarabangsa yang telah menunggu seawal jam 7 pagi bagi membuat liputan kes.

Sementara itu, warga Switzerland yang juga bekas pengarah PetroSaudi International Ltd., Xavier Andre Justo, dilihat berada di lobi pejabat SPRM kira-kira jam 1.10 petang.

Justo di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
Dia dipercayai telah meninggalkan bangunan tersebut menggunakan laluan berbeza.

Terdahulu, Justo tiba jam 8.55 pagi dipercayai bagi membantu siasatan berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada Isnin lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan Pasukan Petugas Siasatan 1MDB untuk menjalankan siasatan terperinci, pengesanan dan penyitaan aset serta pendakwaan terhadap individu yang melakukan apa-apa kesalahan jenayah dalam pengurusan 1MDB.

SRC International ialah anak syarikat 1MDB, sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.