Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri majlis resepsi perkahwinan anak lelaki Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini malam tadi.

Najib dan Rosmah tiba kira-kira pukul 9 malam dan disambut oleh Mohd Irwan serta isteri, Puan Sri Rohana Sulaiman.

Majlis resepsi perkahwinan pasangan mempelai Dr Mohd Nazshua Mohd Irwan Serigar, 29, dan isterinya, Mazlin Muhammad Sudin, 29, itu dihadiri oleh kira-kira 1,000 tetamu.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta menteri-menteri kabinet dan tetamu kenamaan lain.

Mohd Nazshua, seorang doktor di Hospital Shah Alam, merupakan anak bongsu daripada dua beradik, manakala Mazlin, seorang arkitek, juga anak bongsu daripada tujuh beradik.

Pasangan raja sehari itu diijab kabul dalam majlis pernikahan yang berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, di sini, pada Jumaat lepas.

-- BERNAMA