Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menzahirkan rasa sedih atas pemergian bekas setiausaha akhbarnya Datuk Mochtar Mahmud Baginda yang meninggal dunia pada Jumaat.

Najib berkata Allahyarham Mochtar telah memainkan peranan penting dalam Perjanjian Damai Malaysia Parti Komunis Malaya (PKM).

"Innalillahiwainnailaihirajiun. Terima berita sedih bekas Setiausaha Akhbar saya ketika menjadi MB Pahang, Datuk Mokhtar Mahmud Baginda telah pulang ke rahmatullah.

"Allahyarham juga mainkan peranan penting dalam Perjanjian Damai Malaysia PKM. Moga roh dicucuri rahmat. Al-Fatihah," katanya menerusi status terkini di Twitternya lewat malam tadi.

Allahyarham Mochtar, 81, merupakan setiausaha akhbar semasa beliau menjadi Menteri Besar Pahang, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan akibat sakit tua.


Allahyarham yang lahir pada 21 Jun 1937 dan pernah menjadi wartawan Utusan Melayu meninggalkan seorang balu Halifah Mat Noh, 80 tahun serta dua anak perempuan Fatimah, 57, dan Maryati, 54.

Selain Najib, Allahyarham juga pernah menjadi setiausaha akhbar kepada dua Menteri Besar Pahang sebelum Najib iaitu Datuk Rahim Abu Bakar dan Datuk Abdul Rashid Abdul Rahman.

Beliau juga merupakan insan penting yang memainkan peranan membuka jalan kepada Rundingan Hat Yai antara pihak berkuasa Malaysia dan pemimpin utama PKM seperti Abdullah CD dan Chin Peng pada 2 Dis 1989 di Hotel Le Garden, Hatyai, Thailand yang membawa kepada peletakan senjata oleh pengganas komunis.

-- BERNAMA