HARI ini seluruh negara meraikan ulang tahun kelahiran pemimpin ulung Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hampir di semua platform media sosial, Perdana Menteri dihujani dengan ucapan selamat hari lahir ke-94.

Dalam ribuan ucapan yang diterima Dr Mahathir, perhatian umum turut tertumpu pada entri istimewa yang dimuat naik oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib mengikut jejak langkah rakyat Malaysia untuk sama-sama meraikan hari berbahagia bekas mentornya itu .

Dalam entri yang dimuat naik di laman Facebook peribadinya, Najib turut mendoakan Dr Mahathir dikurniakan kesihatan yang baik.



Sehingga pukul 5.30 petang Rabu, ucapan hari lahir buat Dr Mahathir yang dimuat naik oleh Najib menarik perhatian lebih 1,300 komen daripada netizen selain lebih 345 perkongsian dilakukan.

Rata-rata netizen memberikan komen positif terhadap entri yang dibuat oleh Najib yang diketahui ramai tidak sependapat dalam gelanggang politik dengan Dr Mahathir.

Kemunculan Dr Mahathir dalam politik di bawah bendera Pakatan Harapan sehingga menumbangkan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum tahun lalu merupakan kemuncak perbezaan ideologi kedua pemimpin itu.

Dr. Mahathir yang berusia 94 tahun hari ini sekali gus meletakkan beliau sebagai pemimpin tertua di dunia.

Di sebalik hari yang bermakna ini, beliau turut muncul di sidang Dewan Rakyat pada sesi pagi bagi menjawab pertanyaan semasa Waktu Soalan Perdana Menteri.

Selepas sidang akhbar bersama Dr Mahathir dengan blok Oposisi, suasana di Parlimen menjadi meriah selepas wartawan yang bertugas menyanyikan lagu ‘hari jadi’ kepada beliau.

Jika anda belum berkesempatan untuk mengucapkan Selamat hari Lahir kepada Perdana Menteri, anda boleh sertakan ucapan anda di pelbagai platfom media sosial Astro AWANI dengan hashtag #TunM94.