Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatan kerjanya ke India baru-baru ini sebagai satu anjakan paradigma yang diperlukan oleh kedua-dua negara dalam merealisasikan potensi masing-masing.

"Alhamdulillah, lawatan kerja saya ke India telah selesai semalam (4 April) dan saya percaya kita telah memasuki lembaran baru dalam hubungan dua hala dengan kerajaan India kepada lebih strategik dan komprehensif," kata beliau dalam catatan terbaru di blognya, NajibRazak.com

Beliau berkata banyak yang telah dicapai dan seterusnya beliau berkongsi tiga kejayaan utama delegasi Malaysia sepanjang berada di India.

Pertama, Malaysia telah berjaya menandatangani 31 Memorandum Persefahaman (B2B) dengan jumlah pelaburan bernilai RM158.4 bilion (US$36 bilion) termasuk US$32 billion projek dan pelaburan di Malaysia, kata Najib.

Kerjasama yang dimeterai meliputi pelbagai sektor termasuk pembinaan pelabuhan, jalan raya, pembangunan tenaga solar, pembangunan bangunan pintar, taman teknologi, pembangunan minyak sawit dan kelapa serta pendidikan tinggi.

Ini adalah satu indikator positif yang jelas menunjukkan keyakinan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi dan syarikat-syarikat terkemuka India terhadap suasana pelaburan dan ekonomi di Malaysia, kata Najib.

"Jumlah pelaburan dan projek-projek yang saya sebutkan ini bukanlah nombor semata-mata tetapi bakal membawa makna yang besar kepada rakyat Malaysia.

"Anak-anak kita akan mendapat manfaat peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi dan kualiti hidup mereka sudah tentu dapat ditingkatkan. Industri sokongan juga sudah pasti akan terus berkembang," tegas Najib yang juga Menteri Kewangan.

Kedua, katanya, hubungan ekonomi antara kerajaan Malaysia dan India juga telah memasuki fasa baru dengan enam Memorandum Persefahaman dan satu perjanjian (G-to-G) yang membuka ruang ke arah peningkatan ekonomi antara kedua-dua negara telah dimeterai.

Antara MoU yang telah ditandatangani ialah cadangan pembangunan kilang pengeluaran urea dan ammonia di Malaysia serta pembelian lebihan urea dari Malaysia ke India.

Projek berkenaan, kata beliau, dijangka melibatkan kos sebanyak US$2 bilion, dengan kapasiti pengeluaran sebanyak 2.5 juta tan setahun dan khusus untuk pasaran India.

Dari segi perdagangan dua hala, kedua-dua perdana menteri juga bersetuju untuk mencapai sasaran US$15 bilion dalam masa tiga tahun.

Kejayaan ketiga yang dicapai ialah persetujuan Modi untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang keselamatan, pertahanan dan keamanan dengan menyatakan minat untuk membeli jet pejuang MiG-29 dari Malaysia dan sebagai timbal balas, Malaysia akan menerima peralatan ganti untuk program pesawat Sukhoi.

Pertemuan dengan pelakon terkenal Rajinikanth pula merupakan bonus lawatan kerja beliau pada kali ini.

"Saya telah mengambil peluang tersebut untuk menjemput Rajinikanth membuat pengambaran sekuel filem Kabali di Malaysia dan saya percaya ini adalah satu langkah yang strategik untuk memasarkan keindahan dan keunikan Malaysia kepada pelancong dari India seterusnya menarik kedatangan lebih ramai pelancong India ke Malaysia," katanya.

Ini sejajar dengan agenda untuk meningkatkan kapasiti mingguan penerbangan ke India dari 20,000 kepada 40,000.

Tidak lupa, perdana menteri turut mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Modi dan kerajaan India atas layanan mesra yang diberikan kepada beliau dan delegasi Malaysia walaupun perdana menteri India itu sedang berpuasa dan hanya menjamah air selama sembilan hari.

"Ini sudah tentunya satu bukti kepada hubungan rapat kedua-dua buah negara serta komitmen untuk mengukuh dan meningkatkan kerjasama sedia ada ke tahap yang lebih tinggi.

"Insya-Allah, sesungguhnya kita akan terus melangkah ke hadapan bersama rakan strategik kita, dan saya percaya India dan Malaysia akan bersama-sama maju ke hadapan di bawah kerjasama yang telah dipupuk ini," kata perdana menteri. -- BERNAMA