Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menarik balik rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mengetepikan tujuh pertuduhan yang dihadapinya berkaitan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib, memberitahu tiga anggota panel Mahkamah Rayuan bahawa pihak pembelaan tidak meneruskan rayuan itu kerana perbicaraan di Mahkamah Tinggi telah jauh ke hadapan.

"Rayuan untuk mengetepikan pertuduhan ini tidak lagi sesuai. Kami akan memasukkan hujahan ini di akhir perbicaraan," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan tidak membantah penarikan balik rayuan itu.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Zabariah Mohd Yusof kemudiannya mengetepikan rayuan itu.

Najib, yang genap usia 66 tahun hari ini, berdepan tujuh pertuduhan berkaitan pecah amanah, menyalah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International.

Setakat ini, 54 saksi telah memberi keterangan dalam perbicaraan yang sedang berjalan itu.

Anggota Parlimen Pekan itu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi pada 29 April lepas, menolak permohonannya untuk mengetepikan tujuh pertuduhan itu atas alasan pertuduhan terbabit adalah cacat dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Dalam keputusannya, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali berkata tidak ada kekaburan dalam pertuduhan terhadap Najib dan pihak pendakwaan berhak mengenakan pertuduhan seperti yang dihadapinya.

Najib tidak hadir di mahkamah hari ini.

Muhammad Farhan memberitahu pemberita pihak pembelaan memfailkan notis pemberhentian rayuan itu semalam.

-- BERNAMA