Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berdepan pertuduhan baharu esok.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan SPRM, Najib akan dituduh esok di Mahkamah Kuala Lumpur berkaitan kes SRC International Sdn Bhd.

“Najib juga akan dituduh pada 8 Ogos 2018 di Mahkamah Kuala Lumpur bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Pertuduhan adalah berkaitan kes SRC International. Pertuduhan tersebut dibuat selepas mendapat keizinan daripada Peguam Negara,” memetik kenyataan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan bahawa Najib tidak ditahan.

Ujarnya, Najib dipanggil hari ini adalah untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan berkaitan SRC International.

“Beliau tak ditahan. Kami ambil keterangan dan beri arahan supaya beliau hadir ke mahkamah esok,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Sumber terdekat SPRM memaklumkan bahawa terdapat tiga bertuduhan baharu yang akan didakwa ke atas Najib esok.

Najib sebelum itu hadir kira-kira pukul 4.57 petang di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA) dan dirakam percakapan selama 45 minit.

Beliau turut ditemani barisan peguam diketuai Tan Sri Shafee Abdullah.

Peguam Negara, Tommy Thomas dalam sidang media pada April lalu, berkata pihak pendakwaan akan mengemukakan lebih banyak pertuduhan berkaitan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sekiranya terdapat lagi kertas siasatan baharu diberikan SPRM.

Pada 4 Julai lalu, Najib didakwa di Mahkamah SesyenKuala Lumpur atas tiga tuduhan melakukan pecah amanah dan satu tuduhan menyalahgunakan jawatannya berhubung dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Esok ditetapkan bagi sebutan kes berkenaan.