Kementerian Pertahanan menyangkal dakwaan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak kononnya Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu tidak tahu Boustead Holdings Berhad telah membuat pengumuman rasmi kepada Bursa Malaysia berhubung isu penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang.

Menurut Setiausaha Akhbar menteri berkenaan, Amin Shah Iskandar, bekas Perdana Menteri itu hanya meneliti tajuk pengumuman surat penerimaan dan langsung tidak membaca isi kandungannya sehingga gagal memahami sebab Pejabat Menteri Pertahanan memaklumkan penjualan Hotel Royale Chulan Bukit Bintang masih belum dimuktamadkan.

"Pengumuman kepada Bursa Malaysia hanya mengatakan tentang Surat Tawaran dan Surat Penerimaan untuk hotel milik Boustead Holdings Berhad itu.

"Pengumuman kepada Bursa Malaysia itu turut jelas menyatakan Surat Tawaran tersebut tertakluk kepada beberapa syarat antaranya ialah pembeli diberikan Masa Eksklusif selama satu bulan bermula 19 Februari 2019 untuk melakukan penilaian atau aktiviti "due diligence" kepada hotel dan Boustead," kata Amin Shah dalam kenyataan media pada Jumaat.

Amin Shah berkata, Boustead juga tidak seharusnya memberi respons kepada sebarang siasatan, cadangan mahupun perbincangan serta mengadakan perjanjian atau persefahaman dengan pihak lain sepanjang tempoh Masa Eksklusif diberi.

Tambahan pula, katanya, dalam tempoh Masa Eksklusif itu, pelaksanaan perjanjian jual beli bagi kedua-dua pihak juga akan dilaksanakan.

"Syarat-syarat yang diperuntukkan bagi pelupusan cadangan akan termasuk, antara lain, kelulusan berkanun dan pengawalseliaan yang dikehendaki di bawah undang-undang Malaysia dan Bursa Singapura," ujar beliau lagi.