Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa gempa bumi yang melanda Bandar Tainan di Taiwan, awal pagi tadi.

"Saya menerima berita mengenai kejadian gempa bumi di Taiwan yang berlaku pagi tadi. Takziah kepada keluarga dan kenalan mangsa-mangsa yang terjejas," kata Najib dalam catatan terbaru Twitter dan Facebook beliau.

Beliau berkata Kementerian akan teruskan pemantauan dan memberikan maklumat sewajarnya meskipun setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian itu.

Beliau menasihatkan rakyat Malaysia yang berada di Taiwan agar sentiasa berkomunikasi dengan Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taiwan dan mematuhi segala arahan serta nasihat keselamatan pihak berkuasa di sana.

"Sekiranya anda mempunyai kecemasan, ada keluarga atau kenalan di Taiwan, boleh hubungi Pusat Persahabatan dan Perdagangan Malaysia di Taipei di talian +886227132626 untuk maklumat lanjut," katanya.

Wisma Putra dalam kenyataan mengesahkan bahawa setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam kejadian gempa bumi itu.

Kenyataan itu menyebut terdapat pelajar dan rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan gempa bumi, bagaimanapun semua institusi pengajian tinggi dan sekolah kini sedang bercuti musim sejuk dan hanya akan kembali dibuka pada 15 Feb ini.

Menurut Wisma Putra, kebanyakan pelajar Malaysia di kawasan kejadian sedang bercuti atau menyambut perayaan Tahun Baharu Cina di Malaysia.

Gempa berukuran 6.4 pada skala Richter melanda Taiwan pada 3.57 pagi tadi, kira-kira 28km timur laut wilayah Pingtung.

Media antarabangsa melaporkan setakat ini, sekurang-kurangnya 11 mangsa terkorban termasuk seorang bayi perempuan berusia 10 hari, sementara 35 orang lagi dikhuatiri terperangkap.