Seorang lelaki terkejut apabila mata kailnya terpancing mayat di lombong berhampiran Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) di sini, hari ini.

Mayat Lam Siew Fong, 66, yang berasal dari Bandar Baru Kampar ditemui pemancing itu kira-kira jam 9.45 pagi di dasar lombong terbabit.

Ketua operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kampar, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Shariman Yusoff berkata, pihaknya menerima panggilan daripada polis bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa.

“Tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian dan operasi bertindak mengeluarkan mangsa di dasar sedalam satu meter dengan menggunakan tali.

“Mayat ditemui dalam keadaan sempurna disahkan maut oleh pasukan perubatan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.