Selepas 16 tahun, adakah kita masih hidup dalam ketakutan?

Demikian antara yang disuarakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucaptama beliau pada Sidang Kemuncak Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) ke-18, di sini, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, selepas tempoh tersebut, keganasan yang berlaku kepada dunia dilihat masih tiada perubahan, malah ia semakin rumit dalam mencari penyelesaian terhadap isu global.

"Itulah sebab mengapa saya mengatakan bahawa dunia masih hidup dalam ketakutan, mana-mana negara yang memutuskan untuk menentang peperangan atau perbuatan buli oleh kuasa-kuasa besar berisiko untuk dijajah dan ditindas.

"Operasi ketenteraan ini akan diteruskan walaupun tanpa sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"(Tetapi) Itu 16 tahun lalu. Adakah kita masih hidup dalam ketakutan (sekarang). Melihat kepada apa yang berlaku terutamanya di Timur Tengah melalui pencerobohan terhadap Iraq, saya tidak hairan bahawa unilateral dan 'blok' yang terlibat dalam peperangan masih berleluasa, malah pendekatannya menjadi semakin kompleks," kata Perdana Menteri, pada Jumaat.

Jelasnya Dr Mahathir, akibat daripada keganasan - dunia menjadi saksi bagaimana perubahan rejim dan demokrasi telah mengakibatkan negara-negara dan tamadun moden berdepan keruntuhan.

Malah, tambah beliau, beberapa negara Anggota NAM berdepan situasi tersebut, dan tidak menolak kemungkinan nasib sama bakal menimpa negara anggota yang lain.

Mengambil contoh pencerobohan ke atas Iraq pada 2003, Dr Mahathir berkata, pihak terbabit menuduh Iraq menyembunyikan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) sebagai alasan untuk melancarkan serangan.

"Pencerobohan dilancarkan, (mengakibatkan) negara itu hancur dan dijajah. Negara itu telah musnah, tetapi bukan rasa bersalah dan melakukan usaha untuk memulihkan kemusnahan, sebaliknya kekayaan negara itu dicuri dan dikongsi bersama mereka," katanya.

Pada 20 Mac 2003, tentera Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan terhadap Iraq, mengakibatkan Perang Iraq yang dahsyat.

Pencerobohan tentera AS bersama dengan sekutunya United Kingdom, Australia dan Poland - memberi impak besar bukan sahaja kepada Iraq, malah kepada rantau Timur Tengah.

Kali terakhir Dr Mahathir menyampaikan ucaptama pada pentas ini adalah ketika Malaysia menjadi pengerusi NAM pada tahun 2003 di Kuala Lumpur.