Himpunan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (NAMSA) akan melancarkan prosedur operasi standard (SOP) untuk melaporkan jenayah kebencian (hate crime) dan gangguan seksual ekoran peningkatan kes-kes sedemikian sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Presidennya, Syazwan Shatri berkata, pada masa sama, pihaknya akan meneruskan hubungan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan.

"Kita akan memberi penekanan kepada beberapa aspek melibatkan jenayah kebencian serta isu gangguan seksual yang melibatkan pelajar Malaysia. Ia memastikan kerjasama sesama pelajar sendiri dalam memastikan keselamatan masing-masing terjamin.

"Bagi menaikkan nama NAMSA dalam kalangan pelajar-pelajar Malaysia di Amerika Syarikat (AS), Ahli Lembaga Esekutif (ALE) sesi 2018/2019 yang dipilih akan meneruskan kesinambungan usaha dan program terdahulu yang banyak memberi manfaat kepada pelajar-pelajar seperti US-Malaysia Students for Excellent (US-X), Virtual Career Fair (ViCaF), dan Mega Volunteering Project (MVP).

"ALE 2018/2019 juga telah menetapkan beberapa objektif dan inisiatif baru yang akan dilaksanakan seperti mengadakan kerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan pelajar Malaysia di AS yang lain," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

BACA: Bentang manifesto jadi keunikan pemilihan Presiden NAMSA

BACA:
Cari penyelesaian isu pelajar Malaysia di AS - NAMSA

Kata Syazwan, SOP isu berkenaan akan dibincangkan dalam pertemuan mereka yang seterusnya.

Terdahulu, NAMSA, sebuah pertubuhan induk bebas yang memayungi keseluruhan pelajar Malaysia di AS telah menganjurkan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) 2018 di Kedutaan Besar Malaysia di AS.

Seramai 25 orang pemimpin pelajar Malaysia dari seluruh AS telah menghadiri mesyuarat tersebut yang dirasmikan oleh Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di AS, Murni Abdul Hamid.

Agenda utama program adalah pembentangkan Laporan Tahunan bagi tahun 2017/2018 dan pemilihan Ahli Lembaga Esekutif (ALE) NAMSA bagi tahun 2018/2019.

Pada pemilihan kali ini, jawatan presiden telah disandang oleh Syazwan Shatri, pelajar dari Oregon State University menggantikan Zaryff Razali yang telah tamat tempoh perkhidmatannya.

Selain itu, mesyuarat kali ini turut diisi dengan forum bertajuk Millennials as Leaders of Tomorrow, iaitu taklimat isu konsular dan daftar pemilih.

Dalam pada itu jelas Syazwan, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Zulhasnan Rafique, pejabat-pejabat Pelajaran Malaysia di AS, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Majlis Amanah Rakyat (Mara), Axiata dan WeMalaysia dalam membantu menjayakan mesyuarat serta aktiviti mereka selama ini.