Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (YGMM) melantik bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif GMM berkuatkuasa 1 November ini.

Pengerusi YGMM Tan Sri Razali Ismail berkata, pelantikan itu akan memastikan suara kesederhanaan terus relevan dan diterapkan dalam dasar luar serta dalam konteks negara.

"Yayasan itu akan terus bekerjasama dengan rapat dengan semua pihak berkepentingan dalam merealisasikan pelaksanaan 'Deklarasi Langkawi mengenai Gerakan Kesederhanaan Global," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Nasharudin ketika ini merupakan Pengerusi Yayasan Nassar, sebuah badan bukan kerajaan, Felo Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM ) dan ahli Majlis Perhubungan Cina Islam (CICR).

Beliau pernah menjadi Timbalan Presiden Pas dari 2005-2011 serta Ahli Parlimen Yan, Kedah dari 1999-2004 serta Ahli Parlimen Bachok, Kelantan dari 2008-2013.

Nasharudin juga pernah menyandang jawatan Timbalan Pengerusi bagi Persatuan Parlimen Komanwel bagi Malaysia selama dua penggal.

Beliau mempunyai kelulusan ijazah dalam Perundangan Islam dari Universiti Jordan serta memiliki Ijazah Sarjana dalam bidang Undang-Undang Perbandingan di Malaysia serta pernah menjadi pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Nasharudin menggantikan Datuk Saifuddin Abdullah.