Hidup sebagai penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) tidak mudah seperti yang disangka sesetengah pihak di sebalik cabaran kso sara hidup yang tinggi.
Namun, individu yang melihat realiti sebenar hidup penuntut IPT di sini adalah peniaga 'nasi bajet RM4' yang sering dikerumuni penuntut.
Bekas juruteknik IT di salah sebuah syarikat gergasi petroleum negara, Muhammad Zakaria, kini memilih menu nasi bajet sebagai sumbangannya semula bukan hanya kepada penuntut malah penduduk Bandar Ilmu itu sejak dua tahun lalu.
"Dengan harga RM4, pelajar atau pelanggan yang datang ke sini kita akan bagi nasi, ayam goreng, sambal belacan, timun dan kuah kari. Minuman percuma yang mana kita beri empat kali 'refill' dan nasi boleh ditambah.
"Semua pelanggan, bukan sahaja pelajar. Yang datang ke Nasi Ayam Bukuh ni semua dapat harga yang sama.
"Selain pelajar, fokus kita kepada pekerja swasta dan kerajaan termasuk ramai pelajar dan penduduk sekitar sini untuk kita bantu," ujarnya ketika ditemui Astro AWANI hari ini.



Katanya, 70 kilogram ayam dengan purata 300 pelanggan sehari berpusu-pusu ke gerainya berdekatan pintu gerbang Bandar Seri Iskandar.
Apabila ditanya tentang kos sara hidup di sini, Muhammad yang kini berada dalam kelompok M40 dilihat agak kritikal.
Dia secara tiba-tiba sebak tatkala menceritakan realiti sebenar kehidupan penuntut di daerah itu yang sering dianggapnya ibarat adik sendiri.


"Apabila penuntut datang, kita ternampak beg duit dia, sikitnya duit mereka, kita jadi kesian. Tak sampai hati nak caj harga tinggi. Dia nak makan untuk belajar, jadi kita sedekah supaya dia boleh guna untuk belajar. Takut nanti kita caj mahal, takut dia nak belajar pun tak boleh nak bersungguh-sungguh.
"Kadang-kadang duit saku mereka pun tidak cukup. Kadang-kadang makan pun kongsi-kongsi. Ada yang saya tengok ambil nasi dengan leher ayam.
"Kita caj leher ayam, 5 ketul RM1. Jadi mereka ambil pekej yang saya ada iaitu nasi, timun, kuah kari dengan leher ayam. Jadi daripada situ, kita tengok, kita dah tahu bajet dia berapa.
"Lagi pun di sini dia boleh tambah air percuma, nasi. Jadi dia kenyang. Itu yang saya rasa seronok sangat. Bila pelajar tu dapat makan, dia seronok. Itu lah sasaran kita, kita dapat bantu dia.
"Nak bercerita pasal benda ni pun saya sedih. Saya juga pernah macam itu. Kita tahu situasi hidup pelajar tu macam mana," jelasnya dalam nada sebak.
Ini kisah Muhammad yang setiap hari berinteraksi secara terus dengan penuntut di Seri Iskandar yang menjadi majoriti terbesar pelanggannya.
Realiti itu katanya cukup memberi kesan terhadap dirinya terutama dalam mengembangkan perniagaan pada masa sama beramal untuk mereka yang bernama pelajar.