Hantar pulang atau kekal menahan 315 warga Korea Utara yang berada di Malaysia akan ditentukan hari ini, maklum Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Apapun tegasnya, sebarang keputusan yang dibuat berkenaan perkara tersebut akan dibuat secara rasional supaya memberi hasil terbaik untuk kedua-dua negara.

“Seramai 2,453 rakyat DPR Korea pernah berada di Malaysia, dan kini tinggal 315 sahaja di negara ini, ada di kalangan mereka yang bekerja di Sarawak di mana permit kerja mereka telah tamat.

“Hari ini, saya akan buat keputusan sebentar lagi adakah mereka perlu terus ditahan atau dihantar balik ke Korea (Utara),” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian Seminar Jenayah Seksual Kanak-kanak: Hentikan!!! di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri memberitahu bahawa pengesahan Pejabat Peguam Negara diperlukan sekiranya ada waris ingin membawa pulang mayat Kim Jong Nam.

Bagaimanapun ketika ini, masih belum ada lagi pihak tampil untuk menuntut mayat tersebut yang berada di Unit Forensik Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak mati dibunuh pada 13 Februari lalu.

Pada masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa rundingan dengan perwakilan Korea Utara sudahpun berlangsung sekarang dan memberi jaminan keselamatan sembilan rakyat Malaysia yang terkandas di Pyongyang akan terus menjadi keutamaan sepanjang rundingan tersebut.