KUALA LUMPUR:Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin menasihatkan menteri-menteri kabinet agar bekerjasama dengan pegawai-pegawai kerajaan bagi memastikan dasar-dasar yang hendak dilaksanakan berjaya.

Daim berkata, tidak ada gunanya kerajaan Pakatan Harapan mempunyai dasar yang baik jika tidak dapat dilaksanakan akibat tidak ada kerjasama dari pegawai-pegawai kerajaan.

Katanya, setiap dasar yang dibuat oleh kerajaan akan dilaksanakan oleh pegawai-pegawai yang bertugas di setiap kementerian.

BACA: Nasihat saya tidak semestinya PM terima - Tun Daim

BACA: 'Jho Low belum putus asa dapatkan imuniti, minta macam-macam' - Tun Daim

"Yang penting ialah pelaksanaan, kita buat satu dasar yang baik tidak guna jika tidak ada pelaksanaan yang baik, akhirnya kita nak melihat pencapaian apa yang kita nak buat.

"Dasar yang kita buat kita nak ia mencapai apa yang kita harapkan, jadi perlu ada kepercayaan kepada pegawai-pegawai kerajaan kerana mereka yang mahu laksanakan.

"Jadi kita jumpa mereka, menteri-menteri perlu bekerjasama dengan pegawai kerajaan, beritahu ini dasar-dasar kerajaan baharu, kamu laksanakan," katanya dalam program Perspektif Tun Daim yang akan disiarkan pukul 9 malam nanti.

Dalam temubual itu juga, Daim secara bergurau menjelaskan beliau bernasib baik kerana dipanjangkan umur untuk melalui tiga zaman kegawatan ekonomi.