Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz akan mengadakan misi 'menjual' Malaysia di Sri Lanka dan India dalam usaha menarik lebih ramai pelawat dari rantau ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014.

Misi selama 10 hari bermula 10 Mac itu meliputi Colombo di Sri Lanka dan empat bandar raya di India iaitu Kochi, Bengaluru, Mumbai dan New Delhi.

"Matlamat utama misi ialah meningkatkan promosi TMM 2014 serta Tahun Festival pada 2015," kata Pengarah Tourism Malaysia di New Delhi Amran Abdul Rahman kepada Bernama, di sini.

Program Tahun Festival itu diumum oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembentangan bajet tahun lepas yang menyasarkan penjanaan lebih banyak pendapatan dan menarik lebih ramai pelawat ke Malaysia.

Mohamed Nazri akan diiringi pegawai kanan dari kementerian serta pemain industri selain Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab.

Dalam lawatannya ke kedua-dua negara terbabit, Mohamed Nazri dijadual bertemu pemain utama industri antaranya Persatuan Ejen Pelancongan Sri Lanka, IATA Association serta blogger pelancongan dan pengamal media, kata Amran.

"Kami menerima maklum balas yang baik daripada Sri Lanka dan India berhubung misi ini," katanya menambah Istana Budaya akan mengadakan persembahan kebudayaan di semua tempat persinggahan delegasi itu.

Selain promosi TMM 2014, misi itu juga bermatlamat mengukuhkan lagi hubungan dua hala antara Malaysia dan kedua-dua negara berkenaan menerusi kebudayaan dan warisan, katanya.

Malaysia menyasarkan 28 juta ketibaan pelawat dan menjana pendapatan berjumlah RM76 bilion menerusi TMM 2014.

Tahun lepas, ketibaan pelancong di Malaysia meningkat 2.7 peratus kepada 25.7 juta berbanding 25 juta pada 2012. Sektor pelancongan menyumbang RM51.5 bilion kepada Keluaran Negara Kasar pada 2013.

India antara 10 negara penyumbang tertinggi dengan 650,989 ketibaan pada tahun lepas.