Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yakin Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan diadakan selepas April depan.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, ini kerana mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan Rabu lalu telah memutuskan Parlimen akan bersidang bagi sesi keenam bermula 5 Mac sehingga 4 April depan.

“Saya sebut PRU14 ini mungkin selepas April sebab Rabu lepas, Jemaah Menteri memutuskan bahawa Parlimen diadakan sesi keenam yang akan bermula pada 5 Mac hingga 4 April.

“Jadi kalau Parlimen sedang bersidang jarang sekali dibubar melainkan sudah habis sidang baru bubar.

“Sebab itu saya berani kata PRU selepas bulan empat dan Parlimen akan habis secara automatik bulan enam iaitu tarikh bermula Parlimen ke-13,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

BACA: Tarikh PRU14 tular: SPR nafi, sifatkan tidak munasabah

Mandat Kerajaan Persekutuan diterajui Barisan Nasional akan berakhir 24 Jun 2018 dan PRU14 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas tarikh itu.

Pada November lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi bayangan PRU14 bakal diadakan selepas perayaan Tahun Baru Cina nanti.