Kerajaan mengambil semula RM1 bilion daripada akaun sebuah syarikat milik kerajaan China di Malaysia selepas kegagalan mereka menyiapkan projek saluran paip di negara ini.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, syarikat itu sehingga kini hanya menyiapkan 13 peratus projek berbanding 80 peratus pembayaran yang sudah dibuat.

"Kerana projek ini sudah dibatalkan, kita mahu mendapatkan kembali wang yang sudah dibayar.

"Kita tidak mengambil wang untuk kerja yang sudah dibuat tetapi kita mengambil wang bagi kerja yang tidak dibuat," katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Peribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), pada Isnin.

Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan, bank antarabangsa HSBC diberitahu, berdasarkan arahan kerajaan supaya memindahkan lebih RM1 bilion wang dalam akaun China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP) di Malaysia kepada Suria Strategic Resources Sdn Bhd, sebuah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.

Syarikat China terbabit merupakan kontraktor utama projek saluran paip sepanjang 660km di Pantai Barat semenanjung bernilai RM5.35 bilion serta projek saluran gas di Sabah bernilai RM4.06 bilion.

Kedua-dua projek berkenaan dihentikan oleh kerajaan Pakatan Harapan.

Laporan itu menyebut, CPP mengesahkan bahawa dana berkenaan telah dipindahkan.
Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan, pihaknya tidak mengeluarkan arahan berhubung rampasan lebih RM1 bilion daripada akaun bank tempatan milik syarikat CPP.

Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Dr Mahathir menjelaskan, Kerajaan perlu mengetahui di mana wang berjumlah RM19.4 bilion daripada hasil kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sekiranya betul dana itu tidak hilang seperti dapatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Katanya, sekiranya kerajaan berjaya menemukan semula wang itu bermakna dapatan PAC adalah benar.

PAC pada Isnin mengesan berlaku perlanggaran prosedur pemindahan wang berjumlah RM19.4 bilion daripada hasil kutipan GST apabila ia tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST seperti ditetapkan.

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata bagaimanapun dana itu tidak hilang, tetapi dipindahkan ke Akaun Hasil Disatukan dan digunakan untuk membiayai perbelanjaan mengurus dan pembangunan.