Negara-negara anggota ASEAN digesa untuk menghidupkan semula kerjasama dan usaha dalam menangani masalah jerebu sepertimana yang digariskan dalam Perjanjian Asean Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata kekurangan sumber menjadi punca beberapa aktiviti ditangguhkan.

"Antara aktviti dan usaha yang perlu diutamakan termasuk kerjasama teknikal dan kesediaan dalam mengurangkan risiko kepada kesihatan orang ramai serta masalah alam sekitar daripada kebakaran hutan.

"Kedua, melaksanakan aktiviti yang mempromosi aktiviti bebas daripada kebakaran dan kawalan kebakaran.

"Seterusnya, mengadakan simulasi dan menambah baik bagi respon kecemasan serta mengukuhkan kapasiti bagi penguatkuasaan undang-undang dan pendakwaan," kata beliau dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Persidangan Pencemaran Jerebu ASEAN ke-12 (COP-12), di sini, pada Khamis.

Datuk Seri Ahmad Zahid turut mengalakkan dialog dan forum untuk diwujudkan bersama komuniti antarabangsa bagi mempromosikan lagi pelaksanaan persetujuan AATHP.

Pada masa sama beliau mahu ASEAN meneroka kerjasama pada peringkat antarabangsa daripada segi sokongan kewangan dalam membantu dana dalam usaha kawalan pencemaran jerebu ASEAN.

Selain itu, beliau juga menekankan penubuhan Pusat Penyelarasan ASEAN (ACC) bagi memudahkan kerjasama antara semua pihak dalam menangani masalah jerebu.

Beliau juga berkata usaha menangani masalah jerebu di rantau ini memerlukan penglibatan semua pihak, dan tidak hanya bergantung kepada satu negara.