Negara mempunyai peruntukan undang-undang yang cukup untuk menangani isu 'kehilangan secara paksa' pada masa ini.

Justeru, Dekan Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Ahmad Marthada Mohamed menegaskan, belum timbul keperluan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai isu tersebut.

"Isu ini tidak perlu ditangani secara mendesak. Kerana, kita dapati, walaupun ia berlaku, saya tidak fikir ada kebarangkalian untuk ia berlaku dalam frekuensi yang kerap.

"Jadi, walaupun ia perkara serius, menandatangani (konvensyen) bukanlah satu perkara yang sangat-sangat diperlukan pada ketika ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pihak luar tidak perlu campur tangan dalam isu ini memandangkan peruntukan undang-undang serta agensi-agensi keselamatan dan penguatkuasaaan sedia ada memadai untuk menangani dan menguruskannya.

TONTON: Keperluan Ratifikasi Konvensyen Antarabangsa kehilangan secara paksa

BACA:
Keterangan ikut keadaan bantu rungkai misteri kehilangan Raymond, Amri

Ahmad Marthada berkata demikian ketika mengulas cadangan Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Mah Weng Kwai yang mahu Malaysia meratifikasikan Konvensyen Antarabangsa mengenai kehilangan secara paksa bagi menangani kehilangan seperti dalam kes aktivis sosial Amri Che Mat dan pastor Raymond Koh Keng Joo.

Mah berkata, undang-undang tempatan yang ada ketika ini tidak mempunyai peruntukan secara spesifik mengenai kehilangan secara paksa.

Dalam pada itu, kata Ahmad Marthada, paling penting ialah kerjasama dalam mendapatkan maklumat daripada pihak berkuasa dari negara-negara luar yang terlibat dalam sesuatu isu.

"Misalnya, mungkin ada maklumat yang mengatakan bahawa kehilangan individu itu boleh dicari di Thailand atau Indonesia, jadi kerjasama yang baik yang terjalin di antara negara kita dengan kedua-dua negara tersebut boleh membantu.

"Pada saya, kita tidak lagi perlu untuk menandatangani perjanjian sepertimana yang ditandatangani sebelum ini oleh beberapa negara lain, bagi menyelesaikan kes kehilangan secara paksa ini," ujarnya.

Sebelum ini, Mah turut menyifatkan keterangan yang mereka telah kumpul membabitkan kes kehilangan paksa Raymond dan Amri adalah keterangan mengikut keadaan (circumstantial evidence).

Katanya, walaupun ia hanya keterangan mengikut keadaan, namun ia kukuh bagi melakukan pendakwaan.

Raymond yang merupakan pengasas persatuan Harapan Komuniti, dipercayai diculik ketika memandu oleh sekumpulan lelaki bertopeng di Jalan SS4B/10, kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari 2017.

Rakaman kejadian menunjukkan ia ia dipercayai satu rancangan rapi membabitkan lebih daripada sepuluh lelaki dan tujuh kenderaan.

Sementara Amri, 44 tahun, pengasas bersama persatuan kebajikan Perlis Hope, hilang sejak 24 November 2016.