Malaysia memerlukan kira-kira 10,000 pengamal pergigian pada 2020 bagi mencapai nisbah satu doktor untuk 3,000 penduduk, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Beliau yakin sasaran itu akan dicapai berdasarkan peningkatan jumlah graduan berkaitan pergigian setiap tahun sekali gus menunjukkan perkembangan positif dalam perkhidmatan itu.

"Ketika ini terdapat kira-kira 4,000 pengamal pergigian melibatkan 58 peratus dalam kerajaan dan 42 peratus dalam sektor swasta dengan nisbah seorang pengamal perubatan berkhidmat untuk kira-kira 6,436 penduduk.

"Kita yakin untuk mencapai sasaran itu memandangkan ramai graduan sedang menjalani latihan dalam dan luar negara. Sebagai contoh, kira-kira 600 graduan pada 2012, 800 orang pada tahun ini dan lebih 1,000 graduan pada tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Karnival Kesihatan Pergigian 'Gigiku Mutiaraku' sempena Hari Kesihatan Pergigian 2013 dan 'The Malaysia Book of Records Boneka Cha-Cha Kesihatan Pergigian Terpanjang' di Malaysia yang dirasmikan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor di sini, hari ini.

Subramaniam menjelaskan sektor pergigian adalah satu daripada keperluan asas yang penting untuk pembangunan sesebuah negara dan kementerian komited untuk memajukannya dengan pelbagai program yang diatur selain penyediaan pelbagai infrastruktur.

Menurutnya kemudahan itu akan diteruskan dan ditambah baik di klinik dan hospital kerajaan serta swasta seiring dengan peningkatan kesedaran penduduk mengenai penjagaan gigi.

"Harapan rakyat adalah untuk mendapatkan rawatan pergigian dengan mudah dan selaras dengan itu kerajaan menyediakan kemudahan itu dalam usaha mewujudkan keadaan kesihatan pergigian yang lebih baik," katanya.