Buat pertama kali dalam sejarah kebombaan, pasukan bomba sukarela marin yang berperanan membantu kes kecemasan di laut ditubuhkan.

Negeri Kelantan dipilih sebagai negeri pertama mempunyai bomba sukarela marin dengan menjadikan golongan nelayan sebagai ahli sukarelawan kerana mempunyai pengalaman berkaitan laut yang boleh membantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkata, pemilihan nelayan sebagai sukarelawan bomba marin itu diyakini mampu membantu JBPM dalam kes-kes kecemasan di laut dan bencana.

"Julung kali diadakan dibentuk, Tok Bali Kelantan dipilih kerana kawasan air dan banyak aktiviti ekonomi air melibatkan nelayan yang menangkap ikan di sini selain mereka boleh bantu," katanya.

Pelancaran penubuhan bomba sukarela marin diadakan di perkampungan nelayan Pak Mayong, di sini dengan penyertaan permulaan seramai 100 ahli.

Penubuhan bomba sukarela marin ini adalah hasil usahasama JBPM dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang mana pendedahan serta latihan serta bantuan peralatan diberikan pihak bomba.

Latihan yang diberikan ini melibatkan latihan operasi prosedur standard penyelamatan di air, bantuan alat komunikasi dan perhubungan dua hala antara Balai Bomba di daratan dengan bot nelayan.

Menurut Zuraida lagi, ahli bomba sukarela marin itu dapat membantu aktiviti nelayan di laut serta kes-kes kecemasan sebelum ketibaan bantuan daripada pasukan bomba.