Niat menggantikan rakan yang bercuti bertukar tragedi bagi seorang kru bot nelayan apabila hilang selepas dipercayai terjatuh ke laut di kedudukan kira-kira 4.1 batu nautika dari utara Pulau Payar, di sini, awal pagi Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Mahmad Faizal Ahmad, berkata Maritime Rescue Sub-Centre (MRSC) Langkawi segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) jam 9.30 pagi.

"Mangsa yang masih belum dikenal pasti identitinya itu dipercayai lelaki tempatan berusia awal 20-an. Dia dikatakan keluar ke laut bersama dua lagi nelayan dengan menaiki sebuah bot pukat tunda.

"Mangsa disedari hilang pada jam 8.50 pagi tadi. Menurut tekong bot tersebut, mangsa menggantikan seorang awak-awak yang bercuti dan dia baru pertama kali bekerja di bot tersebut," katanya di sini pada Rabu.

Katanya, sektor pencarian meliputi kawasan seluas 25 batu nautika membabitkan aset laut Maritim Malaysia, Jabatan Perikanan dan beberapa buah bot nelayan tempatan.