Seorang nelayan warga Acheh, Indonesia meninggal dunia manakala dua yang lain selamat selepas bot yang mereka naiki karam di kedudukan 7 batu nautika dari barat Muka Head, Pulau Pinang.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Firman Amirudin, 23 tahun, manakala dua nelayan Ibrahim Ismail, 59 tahun dan Sopian Mohamad, 42 tahun berjaya diselamatkan.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kapten Maritim Hamizan Harun, kesemua nelayan dari Acheh Indonesia terbabit diselamatkan oleh Kapal Maritim (KM) SATRIA milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor .

Menurut Hamizan, dalam kejadian jam 10.25 pagi itu, kapal KM SATRIA dalam perjalanan ke Pulau Langkawi untuk menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA'19).

Bagaimanapun sebaik tiba di kawasan itu, KM SATRIA ternampak sebuah bot berwarna biru telah karam dan hampir tenggelam.

Berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat tiga mangsa dalam bot berkenaan, namun difahamkan dua mangsa selamat, manakala seorang lagi lemas.

Dua nelayan yang selamat dipindahkan ke Bot Zabri 1 (PPM) dan dihantar ke Hospital Pulau Pinang bagi rawatan susulan.

Hamizan berkata, hasil maklumat daripada nelayan yang terselamat, berlaku letupan di ruang jentera mengakibatkan bot bocor yang menyebabkan bot tersebut karam.

Katanya, siasatan lanjut berhubung kejadian akan dilakukan selepas ini.

Dalam pada itu, orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146.