Seorang nelayan Kemboja terselamat selepas lebih 24 jam terapung di perairan Kemaman, Terengganu.

Mangsa yang dikenali sebagai Avir Mat Saha Sakirin, 39 tahun, dikatakan terjatuh dari bot nelayan yang dinaikinya dari Pattani, Thailand, pada Selasa.

Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abdul Rashid berkata mangsa ditemui terapung oleh krew sebuah pelantar minyak pada kedudukan kira-kira 138 batu nautika dari Pelabuhan Kemaman sekitar jam 11 malam.

Menurut Rashidilhadi, ketika ditemui, mangsa tidak memakai baju dan hanya berpaut pada pelampung sebelum diselamatkan oleh sebuah kapal bekalan pelantar yang berada di lokasi kejadian.

“Mangsa telah dibawa oleh bot bekalan ke jeti KSB Kemaman pada 9.30 pagi tadi dan seterusnya diserahkan kepada pihak Maritim Malaysia, Zon Maritim Kemaman untuk tujuan siasatan dan dokumentasi.

“Pihak Kedutaan Kemboja telah dihubungi untuk tujuan pengesahan dan seterusnya membawa mangsa pulang ke negara asal dalam masa terdekat,” ujar Rashidilhadi.

Tambahnya, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dan telah diberikan rawatan biasa.

Rashidilhadi turut mengingatkan orang ramai agar sentiasa menitikberatkan aspek keselamatan ketika berada di laut bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.