Seorang nelayan maut akibat terkena renjatan elektrik ketika ingin memasukkan palam ke dalam soket sewaktu ingin membaiki bot.

Dalam kejadian 2.50 petang Selasa itu, mangsa Romli Mohd Said, 61 tahun, sepatutnya ke laut untuk menangkap ikan.

Bagaimanapun beliau ditemui anaknya dalam keadaan terbaring dan menggeletar di Pelantar Ikan Kubang Rotan, dekat Kuala Kedah.

Menurut anak sulung mangsa, ​Mohd Faizal Romli, 32 tahun, ketika kejadian ayahnya ingin membaiki bot miliknya yang baru dibeli seminggu yang lalu.

Namun, ketika ayahnya ingin memasukkan soket secara tiba-tiba arus elektrik terkena tangan ayahnya itu mengakibatkan ayahnya terkena renjatan.

"(Sebelum itu) adik saya nampak ayah saya atas motosikal, bila dia sampai adik saya sedang bawa naik ikan dan selepas itu diberpatah balik ke tempat tambat bot, tempat dia bekerja.

"Kemudian dia terlihat badan (ayah) dah menggeletar dan kelihatan seperti terkena renjatan elektrik, dan adik saya kemudiannya menjerit dan orang di situ pun bantu menarik wayar," katanya.

Jelas Mohd Faizal, selepas melihat ayahnya terbaring, adiknya bergegas ke pelantar ikan untuk mengangkat dan membawa ayahnya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia kerana terkena renjatan yang kuat sehingga mengakibatkan organ dalamannya terbakar.

Menurut Faizal, yang juga seorang kakitangan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), turut menjadikan kejadian itu satu pengajaran buat semua apa yang berlaku kepada ayahnya itu perlu diaambil langkah keselamatan yang betul sebelum menggunakan perkakasan elektrik.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.