Seorang nelayan dijatuhi hukuman penjara lapan bulan atas pertuduhan menumbuk bapanya sehingga bengkak dagu.

Hukuman itu dijatuhkan, Majistret Nordiana Abd Aziz selepas tertuduh, Mohd Fakhruddin Fouzi, 31, mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan (KK) dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan terhadap bapanya, Fouzi Ismail yang berusia 57 tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Kampung Losong, di Kuala Terengganu, jam 2.30 pagi 27 Februari lalu.

Mengikut fakta kes, tertuduh sebelum itu bergaduh dan memukul adik lelakinya dan mangsa yang melihat kejadian itu cuba meleraikan pergaduhan antara dua anaknya.

Bagaimanapun, mangsa ditumbuk tertuduh menyebabkan dia mengalami sakit di bahagian dagu sebelum menyuruh seorang lagi anaknya menghubungi polis.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lee Ka Full manakala tertuduh tidak diwakili peguam.