Seorang nenek berusia 74 tahun ditemukan mati rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah di Jalan Hup Seng Kampung Kituwo, di sini, malam tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Intang Kapuk, ditemui oleh sepasukan anggota bomba selepas operasi pemadaman kebakaran yang memusnahkan sebuah rumah jenis tidak kekal itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Mohd Naim Mohd Nasir berkata pihak bomba telah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.31 malam Jumaat, sebelum mengetuai enam anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba di lokasi kejadian pihak bomba terus menjalankan operasi pemadaman dan api berjaya dikawal pada jam 10.58 malam.

"Ketika menjalankan pemeriksaan menyeluruh di kawasan kebakaran bagi memastikan tiada benda berbahaya lain pihak bomba telah menemui mayat seorang wanita rentung dan seterusnya menyerahkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataannya kepada media, hari ini.

Tambah beliau, operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.10 tengah malam tadi.