Sekiranya Malaysia melalui kesatuan ASEAN gagal mendepani cabaran besar di peringkat global, kemungkinan ASEAN tidak lagi relevan dalam tempoh 10 tahun lagi.

Itu kebimbangan yang dizahirkan Pakar Sejarah, NTU Singapura, Profesor Madya Dr Farish Ahmad Noor berhubung hala tuju dan cabaran mendepani Malaysia diperingkat antarabangsa pasca 62 tahun kemerdekaan.

Jelasnya, ASEAN perlu tegas dalam membuat pendirian berhubung beberapa isu peringkat global termasuk krisis perang dagang Amerika Syarikat (AS)-China serta beberapa isu melibatkan ASEAN seperti tuntutan Laut China Selatan.

“Saya rasa, ini merupakan satu cabaran yang akan dihadapi bukan hanya oleh Malaysia, tapi di seluruh negara-negara rantau ASEAN.

"Apabila berdepan cabaran ini, kita akan cuba melaksanakan sejenis politik yang halus dan pintar, politik yang bijak, di mana kita tidak patut jatuh dalam perangkap ini di mana kita dipaksa mengambil pihak.

“Kalau kita lihat di saat ASEAN itu ditubuhkan pada 1967, konsep mempertengahkan ASEAN sangat-sangat penting dalam logika ASEAN, iaitu ASEAN memilih jalan yang neutral, tidak mahu dikaitkan atau dibawa masuk ke dalam konflik perang dingin blok barat dan blok timur pada tahun 60an hingga 80an sebagainya.

“Sekarang ini, kita lihat bahawa sekali lagi negara-negara ASEAN dipaksa, ada tekanan ke atas negara-negara ASEAN agar kita mengambil pihak. Baik pihak AS atau China. Saya rasa ini akan merugikan kita.

"Kalau ASEAN itu berpecah, kalau tidak ada kesefahaman antara negara-negara ASEAN, dan satu suara untuk seluruh rantau kita, saya khuatir bahawa politik pecah perintah yang pernah digunakan pada zaman dahulu untuk melemahkan dan menjajah Asia Tenggara akan kembali lagi,” katanya kepada Astro AWANI baru-baru ini.

Beliau turut mempersoal sama ada para pemimpin politik di rantau ini, bukan hanya di Malaysia tetapi di seluruh Asia Tenggara akan benar-benar mencari jalan untuk melahirkan satu wadah, perspektif dan azam yang baharu.

“Di mana kita mengingatkan bahawa sebenarnya tiap-tiap negara Asia Tenggara ini wujud dari rantau yang sama. Kita ada banyak persamaan baik dari hubungan sejarah, bahasa, budaya dan lain-lain lagi.

“Ini telah diketepikan demi agenda politik dan ekonomi di mana tiap-tiap negara yang ingin membangun tak kira apa-apa latar politiknya, saya kira ini satu pendirian yang mungkin dari perspektif jangka masa pendek itu efektif, tapi dalam perspektif yang lebih panjang, akhirnya akan melemahkan rantau kita,” ujarnya.

Beliau pada masa sama melihat, Malaysia tidak mampu bersendirian mendepani cabaran global termasuk unsur neokolonialisme yang semakin rencam ketika ini.

Malah, jelasnya setiap negara anggota ASEAN kini masih memfokuskan masalah domestik dan tidak memandang ke hadapan berkenaan cabaran global yang mendepani kesatuan itu.

“Jadi tiap-tiap pemerintah kerajaan di ASEAN ini fokusnya bukan politik di rantau ini, politik global atau politik masa depan, termasuk visi jangka masa panjang sebaliknya fokusnya kepada pilihan raya yang akan berlaku, dan isu-isu tempatan, lokal dan isu ini bertambah kompleks.

“Selagi keadaan ini tidak berubah, saya khuatir bahawa golongan elit di rantau kita tidak dapat bertemu dan cuba melahirkan satu visi yang baharu untuk masa depan kita.

“Soalannya, dalam 10 tahun lagi, apakah ASEAN akan masih kekal relevan? ini yang buat saya takut, saya khuatir kerana saya rasa kalau keadaan ini tidak berubah, dalam masa 10 tahun lagi ASEAN tidak lagi relevan, dan tidak ada suara di pentas politik antarabangsa,” katanya.

Justeru, beliau berpandangan bahawa krisis yang mendepani Malaysia di peringkat global ini tidak hanya perlu ditangani secara bersendirian sebaliknya memerlukan kesepakatan yang jitu daripada anggota ASEAN lain untuk lebih lantang di peringkat global.