Pakar perubatan Malaysia di Christchurch, Dr. Ahmad Sufian Ab Rahman yang menguruskan jenazah mangsa serangan pengganas mendedahkan beliau tidak ketinggalan merasai keperitan dan kepedihan rakan dan keluarga yang terlibat dalam tragedi berdarah itu.

Dalam masa sama, beliau tersentuh dengan gabungan tenaga semua masyarakat berbilang agama melahirkan solidariti terhadap mangsa keganasan itu.

"Bagi saya keperitan secara peribadi ialah melihat kawan-kawan saya sendiri , keluarga terlibat secara langsung dalam peristiwa. Kebanyakan meninggal dunia sebagai syuhada, sebahagiannya dirawat di hospital.

"Kita pernah bersama sambut Ramadan, solat bersama dan ini menimpa kawan kita. Itu keperitan hubungan sesama Islam yang terasa. Dari sudut kita sebagai komuniti tempatan , beberapa agensi muslim bergabung tenaga.

"Rutin saya terlibat memeriksa jenazah untuk pastikan semua baik sebelum jenazah dikendalikan, sebelum jenazah dibawa keluar dari hospital dan kemudian diurus dan solat jenazah.

"Itu rutin dua tiga hari lepas selain lihat rakan dan keluarga terlibat di hospital," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.

Tragedi berdarah Christchurch disifatkan Ahmad Sufian sebagai sesuatu yang signifikan dengan seluruh umat Islam di seluruh dunia.

Malah, ia tidak akan dilupakan kerana merupakan serangan pengganas terancang.

"Ia seperti yg kita ketahui, Jumaat hari ini genap satu minggu tragedi yang kita panggil 'the darkest moment' kepada rakyat New Zealand secara keseluruhan dan komuniti muslim yang tinggal di New Zealand.

"Tentu sekali apabila ia berlaku kepada komunuti muslim di sini dan di seluruh dunia, merasa begitu terkesan sekali," ujarnya.