Prihatin dengan nasib masyarakat Islam di Kemboja, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa terus komited menghulurkan bantuan menerusi misi kemanusiaan sejak 18 tahun lalu.

Pengerusinya, Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican berkata pelbagai barangan keperluan asas seperti beras, minyak dan gula disalurkan kepada penduduk Islam menjelang Ramadan, khususnya mereka yang tinggal di kawasan pedalaman.

"Saya menjalankan program ini secara solo hampir 18 tahun dan syukur Alhamdulillah saya turut mendapat kerjasama daripada NGO tempatan bagi menjayakan program ini," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata program tahun ini juga sedikit berbeza apabila pertubuhan itu buat pertama kalinya menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim dan fakir miskin.

Dalam kenyataannya, Mustapha turut berterima kasih kepada semua pihak khususnya rakyat Malaysia yang bermurah hati menghulurkan bantuan bagi menjayakan kerja amal itu.

-- BERNAMA