Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Antarabangsa hari ini menyerahkan 10 buah telaga kepada Setiausaha Bahagian Kementerian Agama Kemboja Asahari Ayob di Phnom Penh.

Ketuanya Datuk Dr Mustapha Ahmad Marican dalam kenyataan di sini pada Selasa berkata kos pembinaan sebuah perigi adalah sekitar AS$350 (AS$1=4.07), bergantung kepada tempat dan kawasan, kerana faktor pengangkutan dan struktur tanah yang berbatu menyebabkan kosnya boleh mencecah sehingga AS$1,000 berikutan kerja-kerja menggali tanah sukar dijalankan.

"Pembinaan perigi kali ini melibatkan lima kampung di beberapa daerah seperti Kampung Thom, Kampung View, Kampung Kabai, Kampung Steam dan Kampung Onah. Ia melibatkan dua fasa, iaitu 20 perigi untuk fasa satu manakala fasa dua akan bermula sebelum bulan Ramadan supaya umat Islam mendapat bekalan air bersih secara berperingkat," katanya.

Sementara itu Dr Mustapha berkata beliau berharap rakyat Malaysia dapat menghulurkan sumbangan agar NGO antarabangsa dapat melakukan lebih banyak kerja-kerja kebajikan.

Katanya sehingga kini NGO Antarabangsa itu berjaya mengumpulkan 20 perigi hasil sumbangan rakyat Malaysia dengan kos sebuah perigi berjumlah RM1,500 untuk diberikan kepada masyarakat Kemboja khususnya umat Islam Kemboja yang berada di pedalaman.

-- BERNAMA