Presiden Penaja Pemantau Malaysia Baru, Datuk Lokman Noor Adam, telah membuat laporan polis ke atas Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan Datuk A Kadir Jasin pada Selasa.

Laporan itu dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tersebut susulan kenyataan Kadir yang dikatakan mengandungi hasutan dan menghina institusi Raja-Raja Melayu.

“Sebagai seorang rakyat Malaysia yang prihatin dan menjunjung kedaulatan raja-raja Melayu serta perlembagaan Malaysia, saya merasakan bahawa kata-kata yang disebut oleh Kadir mengandungi unsur hasutan dan menghina institusi Raja-Raja Melayu,” katanya.

Laporan tersebut dibuat di Balai Polis Saujana Utama, di sini, jam 5.51 petang Selasa.

Sehubungan itu, Lokman berharap agar pihak polis menyiasat kenyataan Kadir yang dikatakan telah melanggar undang-undang di bawah Akta Hasutan demi mengekalkan keamanan negara ini.

Lokman merujuk kepada artikel disiarkan Sinar Harian pada 27 Mei lalu tulisan Tokoh Wartawan Negara itu dalam kolumnya yang bertajuk 'Masukkan institusi raja dalam reformasi'.

Dalam tulisannya, Kadir menyarankan supaya dinilai semula tindak balas raja-raja terhadap aduan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan mungkin dianggap gagal dalam tugasnya menyelamatkan negara dan menyejahterakan rakyat sekiranya institusi raja tidak dikaji dan difahami.

Kadir merujuk dakwaan dibuat Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull pada 22 Mei, menyatakan “SPRM hampa” dalam usaha mendapatkan campur tangan Majlis Raja-raja dalam kes 1MDB.