Satu laporan dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa pegawai di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak membabitkan isu penempatan tiga guru besar ke tiga buah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina di daerah Kinta Utara.

Laporan itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pendidikan Negeri, Omar Bakar di ibu pejabat SPRM di sini, selepas menerima maklumat berhubung pegawai di Unit Sekolah Rendah Sektor Pengurusan Sekolah JPN di sini dipercayai menerima rasuah bagi menentukan pertukaran dan penempatan guru besar berkenaan di sekolah berstatus gred 'A' berkenaan.

Omar yang ditemui media di hadapan ibu pejabat berkenaan untuk membuat laporan itu berkata pegawai berkenaan disyaki menerima sejumlah bayaran untuk pertukaran guru besar di daerah lain di Perak ini ke sekolah-sekolah berkenaan.

"Difahamkan sekolah berprestij tinggi itu mempunyai kekosongan, jadi para guru besar dari Batang Padang dan Teluk Intan (daerah Hilir Perak) telah mengisi borang untuk ditukarkan ke sekolah-sekolah itu, sedangkan lebih ramai guru di daerah Kinta Utara yang lebih senior dan berkelayakan.

"Pegawai Pendidikan Daerah Kinta Utara juga telah dihubungi dan beliau mengatakan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan penempatan itu sebaliknya menyenaraikan guru yang berkelayakan dan keputusan terletak kepada panel," katanya.

Sementara itu, setiausaha jawatankuasa berkenaan, Ibrahim Al-Malbar berkata, pihaknya percaya pertukaran guru besar itu melibatkan syarikat pembekal alat tulis yang ingin mengaut keuntungan tinggi sekiranya mereka dapat membekalkan peralatan tulis di sekolah berkenaan.

"Kita mengesyaki syarikat berkenaan akan memberi sejumlah wang kepada guru besar berkenaan untuk diberikan kepada pegawai yang terbabit bagi penempatan semula guru besar di sekolah berstatus tinggi itu.

"Sekolah besar ini memerlukan peralatan sekolah yang banyak dan kita percaya jika syarikat yang terbabit mahu mendapatkan tender pembekal itu, mereka akan mengatur pergerakan di sebalik penempatan guru besar berkenaan," katanya. -- Bernama